
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Panduan literasi kecerdasan buatan (AI) kini berada di peringkat akhir penyediaanya dan dijangka akan dimuktamadkan pada April tahun ini.
- Panduan AI membimbing murid dan guru menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.
- Penekanan diberi kepada etika AI, keselamatan data dan integriti akademik.
- KPM komited memperkukuh keselamatan digital dan etika siber untuk menangani penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan data dan eksploitasi AI.
- KPM bersama Kementerian Digital dan CyberSecurity Malaysia membangunkan Modul Etika Siber Nasional menyokong program CyberSAFE in Schools, sasaran murid 7 hingga 17.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan panduan tersebut bertujuan membimbing murid dan guru menggunakan teknologi berkenaan secara beretika dan bertanggungjawab.
Ini termasuk memberi penekanan terhadap etika AI, keselamatan data dan integriti akademik.
”KPM komited memperkukuh pendidikan keselamatan digital dan etika siber di sekolah bagi menangani ancaman teknologi alaf baharu seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyalahgunaan data dan eksploitasi teknologi AI”, katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Tiew Way Keng pada persidangan Dewan Negara di Parlimen.
Selain itu, dalam usaha memperkukuh pendidikan digital, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Kementerian Digital melalui CyberSecurity Malaysia telah membangunkan Modul Etika Siber Nasional (ESN).
Ini bagi menyokong pelaksanaan program CyberSAFE in Schools yang menyasarkan murid berusia antara 7 hingga 17 tahun.