fb fb fb fb fb

Panduan Dasar APEC bantu negara anggota laksana strategi hidrogen

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto BERNAMA

LIMA, 17 Ogos-Panduan Dasar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) akan menyediakan rangka kerja yang mantap kepada negara anggotanya dalam membangun dan melaksana strategi hidrogren masing-masing dengan berkesan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha kolektif itu bukan hanya akan menyokong matlamat setiap negara, malah menyumbang secara signifikan kepada agenda penyahkarbonan global.

"Malaysia mengalu-alukan Dasar APEC bagi membantu membangunkan selain melaksanakan strategi hidrogen dengan berkesan", katanya demikian pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) APEC 2024 di sini.

Menurutnya, inisiatif ini seiring objektif Malaysia seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Antara fokusnya, adalah pelaburan menerusi kerjasama awam-swasta.

"Projek-projek dilaksana Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) antaranya H2biscus dan H2ornbill adalah contoh yang menyaksikan sokongan sektor awam dan kepakaran sektor swasta bergabung untuk memajukan sektor hidrogen.

"Matlamatnya bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan tenaga tempatan tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pengeksport utama hidrogen hijau ke negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun", tambahnya.

Jelasnya lagi, rangka kerja seumpama bukan sahaja akan meningkatkan keselarasan kawal selia.

Malahan, ia memudahkan perkongsian amalan terbaik, pemindahan teknologi dan aliran pelaburan sesama ekonomi APEC.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD