KUCHING, 21 Mei- Pameran peralatan media lama dan sejarah media di Sarawak merupakan tarikan pada pameran sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang bermula pada 25 hingga 27 Mei ini di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 20 reruai pameran akan mewarnai sambutan HAWANA 2024, yang akan dibuka bermula pukul 10.00 pagi sehingga 5.00 petang.
"Antara bahan yang akan dipamerkan ialah peralatan media lama yang popular pada zamannya seperti kamera lama, radio lama, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak," katanya.
Pelbagai program akan diadakan di reruai pameran UKAS seperti temu bual di konti dan acara pentas. Selain itu para pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman membaca berita secara profesional.
"Orang ramai khasnya para penuntut pengajian komunikasi dijemput melawat reruai pameran yang disediakan," tambah kenyataan itu.
Terdapat 17 agensi turut serta mengambil bahagian dalam pameran tersebut akan mempamerkan perkhidmatan masing-masing.
Ia dilihat akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Agensi yang terlibat ialah UKAS, TVS, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Tourism Board (STB) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).
Turut mengambil bahagian dalam pameran itu ialah CATSfm, Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua, Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, Utusan Sarawak, Kupi-Kupi fm, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan UDA Holdings.
Pameran HAWANA 2024, akan dirasmikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 25 Mei.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2024 pada 27 Mei.