KUALA LUMPUR, 14 November- Data Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) membolehkan kerajaan menyasarkan bantuan yang lebih tepat termasuk subsidi petrol RON95 kepada rakyat.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pendekatan PAKW lebih menyeluruh berbanding klasifikasi B40 dan M40 dengan mengambil kira faktor lokasi serta bilangan tanggungan isi rumah.
"Dengan adanya rujukan ini, pelbagai pihak termasuk kerajaan, agensi dan pusat zakat dapat menentukan keperluan asnaf di satu-satu kawasan.
"PAKW yang diperkenalkan berbentuk kalkulator umum tetapi bagi isi rumah tertentu seperti yang ada OKU atau masalah kesihatan terdapat kaedah pengiraan khusus," katanya kepada pemberita selepas Sesi Town Hall PAKW dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Daerah anjuran jabatan itu di sini, hari ini.
Pembangunan PAKW yang bermula pada 2018 mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah.
Data PAKW juga dapat membantu dalam menangani isu keselamatan makanan negara menerusi penilaian pengurusan dan produktiviti pertanian.