BUKIT MERTAJAM, 21 Oktober - Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PJTSD) Pakej 1 bermula secara rasmi hari ini.
PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan, syarikat Naza Engineering dan Construction Sdn Bhd dipilih sebagai kontraktor utama bagi pakej tersebut selepas melalui proses tender terbuka.
"Pakej tersebut melibatkan kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur-Barat, Lebuhraya Butterworth-Kulim dari kilometer 135.15 hingga kilometer 135.4.
"Ia turut merangkumi pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn dari kilometer 133.5 hingga kilometer 134.5," menurut kenyataan itu.
Projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dan pelaksanan Pakej 1 merupakan sebahagian daripada usaha menyuraikan trafik di kawasan tersebut.
Projek PJTSD secara keseluruhannya akan memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna harian melalui pengurangan kesesakan di laluan berkenaan.
"Pada peringkat permulaan ini, kerja-kerja awalan tidak akan mengganggu aliran trafik kerana dua lorong sedia ada di kedua-dua hala lebuh raya terbabit masih kekal dibuka kepada pengguna.
"PLUS juga akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini projek ini menerusi saluran media sosial," tambah kenyataan itu.
Projek tersebut antara inisiatif utama untuk Pulau Pinang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 pada 18 Oktober tahun lepas.
Projek tersebut melibatkan lebuh raya sepanjang 17.4 kilometer dan jajaran bertingkat sejauh sembilan kilometer.
Ia juga akan dibangunkan dalam lapan fasa antaranya melibatkan pembinaan persimpanhan tanpa lampu isyarat dan dua pusingan-U bertingkat bagi melancarkan aliran trafik.
Lebuh raya tersebut juga mengasingkan trafik tempatan daripada trafik aliran terus sama seperti konsep digunakan di Ipoh, Perak.
Pelan Pengurusan Trafik turut dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kepada pengguna sepanjang tempoh pembinaan projek itu.