Pakej 1 pembesaran LTAPP siap bulan ini, perkukuh peranan hab logistik semikonduktor

Sim Tze Tzin melawat Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang

BAYAN BARU, 27 Mac – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berjalan lancar dengan Pakej 1 dijangka siap sepenuhnya bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakej 1 melibatkan pembangunan RDVT pertama negara dengan teknologi pengurusan trafik udara paling maju.
  • RDVT dilengkapi 16 kamera HD, pemantauan masa nyata, fungsi tagging untuk kenal pasti pesawat dan hantar data ke bilik kawalan serta CAAM.
  • LTAPP mengukuhkan peranan sebagai hab logistik semikonduktor global, menarik syarikat multinasional serta pangkalan penghantaran mesin pembuatan cip.
  • Pakej 2 perluasan parkir pesawat siap pertengahan tahun hadapan; Pakej 3 bermula tahun depan untuk terminal domestik baru dan naik taraf antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pakej berkenaan melibatkan pembangunan Remote Digital Virtual Tower (RDVT) yang pertama seumpamanya di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru menjelaskan, sistem itu dilengkapi 16 kamera berdefinisi tinggi yang memantau keseluruhan operasi lapangan terbang secara masa nyata.

Menurutnya, RDVT turut mempunyai fungsi ‘tagging’ yang membolehkan maklumat pesawat dikenal pasti dengan mudah termasuk jenis pesawat serta kapasiti penumpang.

“Kesemua kamera ini merakam setiap pergerakan secara langsung dan menyalurkan paparan ke bilik kawalan, sekali gus membolehkan pengawal trafik udara melihat keseluruhan situasi di LTAPP.

“Malah, maklumat tersebut turut dihantar ke Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di KLIA bagi tujuan analisis penerbangan masuk dan keluar, selain fungsi ‘tagging’ yang memudahkan pengenalpastian pesawat,” katanya.

Tambahnya, sistem itu merupakan antara teknologi paling maju digunakan dalam pengurusan trafik udara di Malaysia ketika ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Pakej 2 yang melibatkan pembesaran kawasan parkir pesawat dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan.

Manakala Pakej 3 membabitkan pembinaan terminal domestik baharu serta naik taraf terminal antarabangsa dijadual bermula tahun hadapan.

Sementara itu, LTAPP terus mengukuhkan peranannya sebagai hab logistik utama bagi industri semikonduktor global.

Ia susulan peningkatan ketara kargo udara kepada 145,000 tan metrik tahun lalu berbanding 120,000 tan metrik pada tahun sebelumnya.

Menurut Sim, bagi Januari dan Februari tahun ini sahaja, sebanyak 18,500 tan metrik kargo telah dikendalikan di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, pertumbuhan itu didorong kehadiran syarikat multinasional dan tempatan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai hab logistik serta pangkalan penghantaran global bagi mesin pembuatan cip berteknologi tinggi.

Antara syarikat terlibat termasuk LAM Research, Broadcom dan DHL.

“Ini menunjukkan Pulau Pinang menjadi hab logistik yang sangat penting kepada industri semikonduktor, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan ke Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini.