fb fb fb fb fb

Pahang sumbang RM8,000, bantu keluarga arwah Konst. Muhammad Syafiq Ahmad

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 17 Mei- Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM8,000 sebagai bantuan awal kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi tadi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri dan rakyat Pahang turut berdukacita di atas kejadian tersebut dan berharap sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga Allahyarham.
 
Beliau berkata, sumbangan tersebut dijangka akan disalurkan pada malam ini menerusi pegawainya, selain akan memberikan bantuan mengikut keperluan keluarga mangsa di kediaman mereka di Taman Seri Mahkota Jaya, di Kuantan.
 
"Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu seperti biasa dan ini menjadi tanggungjawab untuk kita membantu kerana ini satu kejadian yang memeranjatkan kita semua. Berita sedih untuk rakyat negeri Pahang.

"Saya telah minta pegawai saya untuk menghubungi keluarganya", katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Negeri Pahang di Kuantan.
 
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku, selain menyatakan sokongan penuh kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak polis.
 
Dalam kejadian awal pagi tadi, Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said telah ditembak, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar ditetak di belakang leher dan kepala. Manakala seorang lagi anggota polis cedera dan seorang suspek maut.

ROSLINA BINTI DIN