fb fb fb fb fb

Pahang siasat dakwaan kenaikan kadar sewa premis di Medan Agro

Kerajaan negeri Pahang sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kenaikan kadar sewa premis kedai di Medan Agro, Cameron Highlands / Foto Hiasan

KUANTAN, 8 Oktober - Kerajaan negeri Pahang sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kenaikan kadar sewa premis di Medan Agro, Cameron Highlands, yang didakwa naik antara RM5,000 hingga RM7,500 seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang, mengesahkan pihaknya telah menerima aduan daripada peniaga berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Kadar sewa yang asalnya RM500 telah naik sehingga RM5,000. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita sedang menyiasat mengapa perkara ini berlaku. Selepas siasatan, kita akan maklumkan masalah sebenar,” katanya pada sidang media selepas perasmian Ekspo Pelancongan Antarabangsa Malaysia Pahang 2024, di sini.

Beliau turut menegaskan bahawa jika pihak yang terlibat didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil tanpa teragak-agak.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berharap kenaikan kadar sewa serta kemungkinan peningkatan harga jualan produk di Medan Agro tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke Cameron Highlands.

Menurutnya, pemantauan harga di kawasan pelancongan sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Kita berharap tindakan akan diambil dan pada masa yang sama, peniaga juga diharap dapat bekerjasama dengan kita," katanya.

Kelmarin, tular satu video di TikTok menunjukkan seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) Cameron Highlands menaikkan kadar sewa terlalu tinggi sehingga menindas peniaga tempatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN