fb fb fb fb fb

Pahang nafi pengeluaran nadir bumi di Lipis

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 13 Mac- Kerajaan Pahang nafi berlaku pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis seperti dinyatakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi di daerah Lipis, meskipun terdapat cubaan untuk melakukan aktiviti melombong bahan tersebut.

Menurutnya, hasil maklumat dan intipan Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023, telah mengesan dan menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui.

"Tiga hari berselang, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Negeri Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu dan hasilnya, penemuan alatan dan barang-barang makmal yang digunakan adalah untuk melombong nadir bumi.

"Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan tersebut telah dirampas pihak berkuasa.

"Malah, susulan kes itu, UPNP bersama pihak polis dan Penguatkuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala bermula 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat dan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku,"katanya.

Justeru, Datuk Seri Wan Rosdy berharap kenyataan oleh Nik Nazmi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, di Parlimen, semalam diperbetulkan kerana ia menjejaskan nama baik Negeri Pahang.

Tambahnya, sejak lima tahun lalu, kerajaan Pahang tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram, termasuk aktiviti perlombongan daripada berleluasa.

"Sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah Kerajaan Negeri telah berjaya diselesaikan dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan lapan kes lagi telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.

"Kerajaan negeri juga tegasnya, akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram di Pahang pada masa akan datang,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE