KUANTAN, 12 Disember- Kerajaan Pahang mengambil inisiatif untuk menggerakkan Misi Bantuan Pasca Banjir Sukarelawan Pahang ke Kelantan, sebagai komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Hampir 400 orang sukarelawan digerakkan hari ini dan memfokuskan jajahan Tumpat, yang melibatkan kawasan Kampung Sri Bayu.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata sukarelawan terdiri daripada kakitangan jabatan negeri, badan berkanun, Majlis Tindakan Sosial Pahang dan syarikat berkaitan kerajaan negeri Pahang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata tumpuan akan diberikan kepada usaha pembersihan rumah dan sekolah yang terjejas, serta pengagihan bantuan kepada komuniti yang memerlukan.
"Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepatkan proses pemulihan kawasan yang terkesan.
Kesungguhan Kerajaan Pahang dalam membantu komuniti terjejas, terutamanya dalam menghadapi impak bencana ini dilaksanakan melalui kerjasama dan sokongan semua pihak," kata kenyataan itu.
Pihaknya menyeru agar semua pihak dapat bersama-sama menyokong inisiatif murni itu demi kesejahteraan bersama.