fb fb fb fb fb

PADU: Wujudkan badan pemantau, semak ciri-ciri keselamatan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Sistem PADU di PICC, semalam/Fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Januari- Satu badan pemantau atau "watchdog" perlu diwujudkan bagi menjalankan fungsi menyemak ciri-ciri keselamatan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Langkah tersebut bertujuan mengelakkan sebarang kebocoran data.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, PADU memerlukan tahap sekuriti terkini selari ancaman siber yang semakin kompleks.

"Tidak mudah untuk mendapatkan data kerana ada kawalan akses di PADU, ia juga melaksanakan penyulitan data (encryption) dan dokumen kawalan keselamatan data.
Bukan hanya data, tetapi sistem dan rangkaian juga dilindungi teknologi canggih.

"Mungkin juga kerajaan akan mengadakan inisiatif seperti "watchdog" untuk memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran di peringkat agensi mahupun kementerian", katanya ketika dihubungi RTM.

Langkah pemantauan itu juga bakal menyuntik keyakinan rakyat untuk berkongsi input menerusi PADU demi pelaksanaan inisiatif rakyat yang efektif merentas pelbagai agensi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

PADU merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia. Sistem tersebut bakal mengurangkan ketirisan dan kebocoran dalam menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasar.

ROSLINA BINTI DIN