KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Pelbagai inisiatif diatur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya segera mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama, PADU di Terengganu.
Antara program dijalankan adalah kaunter bergerak dan Siri Jelajah ke semua daerah di negeri itu.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Marlini Sahul Hamid berkata, pelaksanaan program dipergiat bagi memastikan 871,000 penduduk berusia 18 tahun ke atas, mendaftar dengan PADU.
Mengikut rekod, sejak dilancarkan 2 Januari lalu, hanya 11.3 peratus atau hampir 99,000 penduduk sudah mengemaskini profil mereka menerusi sistem berkenaan.
"Keselamatan sistem ini adalah terpelihara dan mempunyai jaminan keselamatan tinggi di mana sistem PADU ini dibangunkan oleh penjawat awam sendiri selain MAMPU, Kementerian Ekonomi dan DOSM.
"Jadi, jangan bimbang untuk keselamatan data ini kerana ada pemantauan dari aspek keselamatan", kata Marlini selepas menghadiri program kesedaran dan taklimat sistem PADU kepada golongan kurang upaya, (OKU) di sini.
Inisiatif itu penting bagi memastikan tiada individu tercicir dalam menerima manfaat yang disediakan Kerajaan termasuk 34,000 OKU di negeri itu.