KUALA LUMPUR, 2 Januari- Reaksi positif disuarakan oleh orang ramai berhubung Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Mereka mengakui ia memudahkan urusan pengumpulan data serta menilai kelayakan penerima bantuan kepada pendekatan lebih bersasar.
Sehubungan itu, orang awam yang ditemui oleh pemberita RTM iaitu Nurul Syafika Rosli dan Selvia Rahmi Sabrul mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama mengisi maklumat menerusi sistem PADU
"(Mengenai) subsidi bersasar ini, selalu kita mengeluh je kan? Jadi ini adalah salah satu usaha oleh kerajaan untuk bantu kita (rakyat Malaysia). Jadi jangan lupa isi PADU," kata Nurul Syafika.
"Bagi saya ia satu langkah drastik yang kerajaan lakukan dalam urusan pengumpulan data. (Namun) saya rasa ia sangat bagus dan selepas dibuka untuk (diisi) nanti, kita ambil peluang dan waktu sekejap untuk isi (kerana) ia penting untuk masa depan kita," kata Selvia Rahmi.
Sementara itu, Yani Rosli dan Mohd Zulfadzli Zakaria mengakui bahawa pangkalan data utama adalah satu sistem terkini yang penting dalam membantu usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Malaysia tanpa ketirisan.
"Macam yang PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakap, ia untuk subsidi bersasar. Jadi memang akan lebih berfokus (subsidi itu nanti) dan harap tidak ada sebarang kebocoran data selepas kita isi itu nanti," kata Yani Rosli.
"Pangkalan data utama adalah sangat penting, jadi kita sebagai warganegara (adalah) menjadi tanggungjawab kita untuk memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan," Mohd Zulfadzli.
ARTIKEL BERKAITAN
PADU banteras ketirisan penyaluran subsidi - PM
PADU miliki ciri keselamatan terkini, terbaik - Rafizi