fb fb fb fb fb

PADU: 5.43 juta penduduk telah kemas kini data

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 18 Mac- Sebanyak 5.43 juta individu telah mengemas kini data masing-masing di dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata penduduk di 4,752 kawasan, dikenal pasti tidak mendaftar dengan PADU atau sebarang program bantuan kerajaan.

Beliau berkata Selangor mencatat jumlah tertinggi dengan sebanyak 1,282 lokaliti diikuti Kuala Lumpur dengan sejumlah 992 lokaliti belum mendaftar di bawah PADU.

"Sehingga 31 Mac kita benarkan kemaskini sekali sahaja, sebab kalau tidak kita letih, kita baru menyatukan segalanya, terdapat pertukaran, perlu buat semula, ini untuk 30 juta orang.

"Jadi anda perlu tetapkan pada satu garis masa supaya orang kemas kini dan data sedia ada itu digarap. Berdasarkan itu, algoritma kita boleh bangunkan untuk menentukan parameter kelayakan. Pendapatan boleh guna dia berapa, perbelanjaan asas kehidupan wajar keluarga dia berapa, pendapatan boleh guna bersih dia berapa", katanya dalam sidang media di sini.

Beliau turut memaklumkan jumlah pendaftaran PADU melibatkan lokaliti majoriti penduduk bukan Melayu di Lembah Klang, masih rendah.

Justeru, beliau menyeru pemimpin masyarakat, selain media vernakular agar menyebar luas maklumat berkenaan PADU bagi mengelak risiko keciciran bantuan.

"Itu akan menyebabkan risiko keciciran dalam kalangan penduduk bukan Melayu yang sepatutnya dapat bantuan. Bukan semua penduduk bukan Melayu kaya-raya, ada banyak yang miskin, yang duduk di flat yang sama seperti orang Melayu, tetapi selama ini dia tidak tahu. Saya mohon media bahasa Cina dan Tamil contohnya,  menarik minat orang bukan Melayu", katanya.

Sementara itu, sesi dialog awam akan diadakan pada 23 Mac di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam bagi memberi penerangan mengenai manfaat PADU serta mendapatkan kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan sebelum akhir bulan ini.

ROSLINA BINTI DIN