KUALA LUMPUR, 3 Jun - Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan Turkiye dalam usaha memacu pasaran minyak sawit negara.
Komitmen itu dinyatakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani kepada Menteri Perdagangan Turkiye, Profesor Dr. Omar Bolat.
Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan pada mesyuarat dua hala yang berlangsung semasa lawatan rasmi dua hari Datuk Seri Johari ke Turkiye, bermula 30 Mei lalu.
"Pada mesyuarat itu, kami membincangkan bidang kerjasama untuk mengukuhkan hubungan dua hala bagi meningkatkan pasaran minyak sawit Malaysia di rantau ini, berkongsi inisiatif dan kemajuan Malaysia dalam mematuhi keperluan kemampanan global dan acara ke hadapan untuk menyelesaikan beberapa isu tertunggak yang dicetuskan oleh pemain industri," kata Johari menerusi hantaran di Facebook.
Pada pertemuan itu juga, Johari turut menyampaikan jemputan kepada Profesor Dr. Omar Bolat untuk melakukan lawatan ke Malaysia dalam masa terdekat.
Ini untuk memperlihatkan usaha Malaysia dalam memenuhi permintaan global bagi minyak sawit negara yang mampan serta meneroka peluang selanjutnya untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.