
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memainkan peranan penting sebagai mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi bagi menilai sebarang kelemahan pelaksanaan dasar dan pentadbiran agensi kerajaan.
- PAC penting sebagai mekanisme semak dan imbang untuk menilai pelaksanaan dasar serta pentadbiran agensi kerajaan.
- PAC mesti bebas dan autonomi, disokong sistem kukuh untuk memastikan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan kewangan.
- Persidangan PAC Parlimen dan negeri bertujuan memperkukuh pemantauan kewangan awam serta meningkatkan keyakinan rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, walaupun PAC tidak mempunyai kuasa menghukum, peranan jawatankuasa itu amat signifikan dalam mendedahkan fakta dan menuntut pertanggungjawaban sekali gus membolehkan isu pengurusan kewangan awam dinilai secara telus oleh rakyat.
“Jika boleh, semua PAC perlu mengikut jejak langkah PAC Parlimen. Pertama, ia mesti mempunyai autonomi, dan kedua, disokong oleh sistem yang kukuh. Jika PAC diwujudkan di peringkat negeri tetapi tidak disertai sistem sokongan, maka kita akan berdepan masalah.
“Sebab itu saya meminta Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk menerangkan apa yang telah dilaksanakan di Parlimen supaya apa yang kita lakukan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Rakyat mesti mendapat faedah daripada penubuhan PAC dengan tujuan yang jelas, dan penubuhan itu perlu memastikan hasil yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan PAC Parlimen bersama Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Negeri Se-Malaysia, di ibu negara.
Selain itu PAC berfungsi secara bebas dan tidak tertakluk kepada kawalan mana-mana pihak dalam memastikan akauntabiliti pentadbiran serta pengurusan kewangan negara.
Turut hadir Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Dr Ahmad Husaini Abdul Rahman.
Mengenai persidangan itu, beliau berharap persidangan yang melibatkan PAC Parlimen dan PAC peringkat negeri itu dapat memperkukuh peranan institusi itu dalam memantau pengurusan kewangan awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus pada peringkat Persekutuan dan negeri.