fb fb fb fb fb

Orang ramai dinasihat tidak sertai perhimpunan Bersih Selasa ini - Polis

Polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Selasa ini di Plaza Tugu Negara / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Februari - Polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Selasa ini di Plaza Tugu Negara.

Ini kerana ia tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya tidak menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan daripada penganjur seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Perhimpunan tanpa pemberitahuan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) akta berkenaan dan polis menyeru orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan itu yang menyalahi undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.

Allaudeen berkata, berdasarkan poster yang tular melalui media sosial, penganjur perhimpunan mengajak orang ramai berkumpul di Tugu Negara dan berarak ke Bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan melaksanakan agenda reformasi.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap semua yang terlibat dalam perhimpunan terbabit mengikut peruntukan yang disediakan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN