fb fb fb fb fb

Orang Asli Bering Baru rayu menara telekomunikasi dibina segera

Masyarakat Orang Asli di Kampung Bering Baru, Pos Pasik di Gua Musang merayu agar kerajaan membina sebuah menara telekomunikasi bagi memudahkan mereka berhubung / Foto Hiasan / Bernama

GUA MUSANG, 22 Jun – Masyarakat Orang Asli di Kampung Bering Baru, Pos Pasik di sini merayu agar kerajaan membina sebuah menara telekomunikasi bagi memudahkan mereka berhubung, khususnya dalam situasi kecemasan.

Penduduk mendakwa mereka terpaksa menunggang motosikal selama hampir satu jam melalui jalan tanah dan berbatu untuk mendapatkan liputan rangkaian internet di Kampung Pasik, lokasi terdekat yang mempunyai isyarat telefon.

Keadaan tersebut dikatakan telah berlarutan lebih 13 tahun dan menyukarkan mereka untuk mengakses perkhidmatan asas komunikasi, termasuk membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian kecemasan.

Menurut penduduk, ketiadaan liputan internet turut menyebabkan mereka ketinggalan dalam isu-isu semasa serta menjejaskan akses kepada maklumat dan pendidikan anak-anak.

Seorang penduduk, Alang Jaafar berkata mereka amat mengharapkan agar kerajaan membina menara telekomunikasi di kawasan tersebut bagi memudahkan urusan harian.

2206 KTN MASALAH TELEKOMUNIKASI 2Penduduk Orang Asli Kampung Bering Baru, Pos Pasik, Gua Musang Alang Jaafar (kiri) dan
Lenoi Ranggas / Foto RTM

"Hendak minta menara telefon sini. Kalau boleh kerajaan bantu. Kemudahan kami orang kampung susah hendak berhubung, sakit ke apa, itu masalah kami. Sekarang kalau hendak berhubung kena ke Kampung Pasik, satu jam naik motosikal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Lenoi Ranggas berkata walaupun kemudahan asas seperti elektrik dan bekalan air telah disediakan, masalah utama mereka kini ialah ketiadaan rangkaian telefon dan internet.

“Harapan semoga dapat untuk keperluan orang kampung dan untuk memudahkan komunikasi dengan orang luar dan orang sakit. Semoga tahun ini dapat talian. Kalau boleh juga disediakan dewan untuk memudahkan kemasukan pihak Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Mereka maklumkan keperluan mendesak terhadap menara telekomunikasi, terutama untuk kegunaan semasa kecemasan. Kawasan ini juga berada di tengah laluan antara Kuala Wook dan Pos Pasik, menjadikan ia lokasi yang strategik. Ia penting untuk pendidikan dan keselamatan,” katanya.

Terdapat lebih 200 penduduk yang menetap di Kampung Bering Baru, Pos Pasik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN