ALOR GAJAH, 25 November- Lebih RM87 juta nilai rampasan pelbagai barang kawalan dan subsidi direkodkan dalam Ops Tiris 3.0 yang dilaksanakan dari Januari hingga 22 November 2024.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia melibatkan 2,521 kes dengan 604 individu ditahan membabitkan warga tempatan dan warga asing.
“Fokusnya pada barang kawalan dan barang kawalan subsidi, kita mulakan Ops Tiris ini dulu dengan hanya menumpukan kepada ketirisan bahan subsidi diesel, namun telah kita memperluaskannya kepada barang-barang lain seperti RON95, minyak masak paket bersubsidi, gula dan sebagainya,” katanya kepada media.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di Kem Permata Resort.
Armizan juga berkata dalam tempoh berkenaan 39,069 pemeriksaan premis telah dilaksanakan di seluruh negara.
"Bagi Ops Kesan pula, dari Januari hingga 23 November lalu, KPDN telah memeriksa 4,200 premis serta menerima 166 aduan," katanya.
Sementara itu, Armizan berkata mulai Januari 2025, KPDN akan memperkukuhkan ketangkasan penguatkuasaan dengan meningkatkan keberadaan atau kehadiran anggota penguat kuasa di pelbagai lokasi secara berterusan.
Langkah itu bagi memastikan kawalan dan pemantauan yang efektif.
"Pelaksanaan strategi itu memerlukan pertambahan jumlah pegawai dan anggota penguatkuasa di 75 pejabat negeri dan cawangan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga penguatkuasaan di kawasan tertentu di seluruh negara, katanya.