PASIR MAS, 2 Disember- Ops Payung yang melibatkan pelbagai agensi berjaya memindahkan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di negeri terjejas banjir, membolehkan mereka menduduki peperiksaan itu hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia bagi memastikan tiada keciciran lebih 5,000 calon berkenaan daripada tidak menduduki peperiksaan tersebut.
Operasi berkenaan selesai sepenuhnya semalam dan ke semuanya ditempatkan di asrama yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk akses internet.
Perkara itu sekali gus menafikan dakwaan ada calon SPM yang terkesan dan menumpang di surau atau sebaliknya.
"Saya ingin menegaskan bahawa selepas operasi pemindahan semalam kita dapat sahkan semua anak-anak kita berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke asrama lebih baik dan lebih kondusif termasuk semua negeri terlibat banjir.
"Semuanya kita pindahkan ke asrama termasuk calon yang tidak boleh pulang ke negeri masing-masing. Mereka diberi kebenaran untuk mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau beberapa sekolah terjejas di sini.
Fadhlina memaklumkan banjir kali ini akan dijadikan rujukan prosedur operasi standard (SOP) khususnya di Kelantan yang berdepan situasi banjir luar biasa.
Ops Payung dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM), memulakan operasi dalam pelbagai keadaan termasuk situasi luar jangka.
Jelasnya, beberapa perkara akan ditambah baik pada masa hadapan, termasuk menyediakan jaket keselamatan dan but kepada petugas-petugas terlibat.