MELAKA, 3 April - Lebih 14,000 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh dua hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri ( HRA) 2024 di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata daripada jumlah kenderaan diperiksa, 7,785 atau 30 peratus notis kesalahan dikeluarkan membabitkan motosikal.
Beliau berkata,operasi yang bermula 1 April lepas akan berakhir 20 April ini.
"Kita adakan juga Ops Khas komersial dan teknikal dan kita adakan Ops Khas sembilan kesalahan utama iaitu kesalahan yang merupakan punca kepada kemalangan maut yang telah kita kenal pasti dan juga operasi khas kenderaan barangan.
"Kita akan menguatkuasakan larangan kenderaan berat dua hari sebelum dan dua hari selepas hari raya," katanya selepas Ops Khas HRA di Bachang, di sini.
Tambah Lokman, JPJ juga akan melaksanakan pemeriksaan di 54 Depoh dan 28 Terminal Bas Utama sepanjang tempoh itu.