fb fb fb fb fb

Ops Kesan 2.0 : KPDN Johor keluarkan 22 notis naikkan harga perkhidmatan

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo ketika sesi advokasi peniaga dan pemantauan harga di KipMall Tampoi, Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 16 Jun- Sebanyak 22 notis dikeluarkan terhadap syarikat termasuk perkhidmatan trak tunda kenderaan dan pengangkutan di Johor, kerana menaikkan harga perkhidmatan, berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, Notis Bertulis (NB) menerusi pelaksanaan Ops Kesan 2.0, bagi memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel.

Dua syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram dan perkhidmatan pengangkutan di Muar, dikenakan notis, kerana tidak berdaftar dengan pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

Manakala, 20 notis lagi dikeluarkan kepada pelbagai syarikat termasuk perkhidmatan pengangkutan yang berdaftar di bawah pelaksanaan SKDS di negeri ini, sehingga hari ini.

"Terdapat unsur pencatutan maknanya mereka terikat kepada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 di mana untuk individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau untuk syarikat boleh dikenakan sehingga RM500,000 dan juga boleh dikenakan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Jadi, kita harap peniaga boleh ambik iktibar,"katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan sesi advokasi peniaga dan pemantauan harga di KipMall Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Sebelum ini, sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram, diberikan notis kerana menaikkan harga perkhidmatan dengan alasan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, pada Khamis lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE