fb fb fb fb fb

Ops Kesan 2.0: KPDN buka tujuh kertas siasatan

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Sebanyak 2,790 premis diperiksa dengan 210 notis dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Ops Kesan 2.0, susulan penyasaran subsidi diesel.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh memaklumkan, hasil pemeriksaan pada 23 jun lalu sejumlah tujuh kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, lebih 1,772 unit penyimpanan stok (SKU) dikumpul sejak 2 Mei lalu menerusi operasi Pra OPS Kesan.

Ini bagi membolehkan perbandingan harga barangan dibuat selepas penyasaran subsidi bermula.

"Daripada 2 Mei sebulan daripada Ops Kesan 2.0 sebelum bermula penyasaran subsidi KPDN memulakan operasi Pra OPS Kesan. Kita telah turun padang mengutip maklumat berkenaan harga barang.

"Kita telah mengutip lebih kurang 1,772 SKU harga barang sebelum penyasaran subsidi bermula supaya boleh membuat perbandingan apabila berlaku penyasaran subsidi," Fuziah menjawab soalan ahli parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot di Dewan Rakyat.

Sementara itu Fuziah berkata, KPDN melaksanakan mekanisme pengawalan harga barang yang menyeluruh demi melindungi hak dan kebajikan pengguna, termasuk meletakkan harga siling pada barangan paling asas dan semasa musim perayaan.

"Kita juga beri subsidi kepada barang-barang seperti kita beri subsidi kepada produk seperti telur, kita galakkan persaingan, kita juga akta kawalan harga supaya tiada pencatutan dan kita pantau harga setiap hari," katanya.

TETITIA YUSOFF