fb fb fb fb fb

Ops Ihsan: Agong berkenan tinjau persiapan akhir pelepasan bantuan untuk Gaza

Pesawat A330-200 Mas Kargo yang membawa bantuan kemanusian untuk Gaza berlepas awal pagi esok

SEPANG, 18 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyaksikan persiapan akhir bantuan kemanusiaan siri ketiga untuk Gaza menerusi Ops Ihsan.

Ketibaan baginda diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Ia akan diterbangkan pada pukul 2.30 pagi esok menggunakan pesawat A330-200 Mas Kargo melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish di Mesir pada 8.50 pagi waktu tempatan.

Penerbangan itu melibatkan muatan barangan sebanyak 60 tan terdiri daripada 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan (ready-to-eat), 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam, selimut dan kit wanita.

Bantuan ihsan berkenaan merupakan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk barangan perubatan sebanyak 20.3 tan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebelum ini, Malaysia berjaya membuat penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan yang tiba di Gaza pada 10 November, manakala penghantaran kedua membawa 16 tan barangan bantuan tiba di Mesir pada 11 November .

Ops Ihsan dijayakan menerusi kerjasama rentas Agensi Kerajaan dengan lebih 50 badan bukan kerejaan (NGO) bagi memastikan gerak atur proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza menjadi lebih tersusun, bersepadu dan efektif di bawah seliaan Kementerian Luar (KLN).

 

1812 AGONG OPS IHSAN 2Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan)

SITI AISHAH BINTI MD ISA