Ops HRA 2026: 10 lokasi panas di Melaka diberi tumpuan khusus

10 lokasi panas di Melaka yang kerap berlaku kemalangan jadi tumpuan JPJ sepanjang tempoh Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2026./BERNAMA

ALOR GAJAH, 18 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan memberi tumpuan khusus terhadap 10 lokasi panas (hotspot) yang kerap berlaku kemalangan sepanjang tempoh Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi berjalan 16 Mac hingga 29 Mac untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan kurangkan kemalangan maut sepanjang musim perayaan.
  • Tumpuan diberikan pada kawasan Alor Gajah seperti Lebuh AMJ, Jalan Alor Gajah-Tampin, Jalan Masjid Tanah dan Bukit Sedanan.
  • Kawasan tumpuan lain termasuk Melaka Tengah (Banda Hilir, Klebang, Sungai Udang) dan Jasin (Gapam-Bemban, Merlimau-Jasin, Tehel-Bemban).
  • JPJ tidak akan berkompromi; tindakan tegas akan diambil terhadap sembilan kesalahan utama penyebab kemalangan jalan raya.

Operasi yang bermula sejak 16 Mac sehingga 29 Mac itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar risiko kemalangan maut sepanjang musim perayaan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer memaklumkan bahawa lokasi berkenaan merangkumi tiga daerah utama di negeri ini.

“Daripada 10 lokasi yang dikenal pasti, lima daripadanya terletak di daerah Melaka Tengah, tiga di Jasin, manakala dua lagi di Alor Gajah.

“Antara kawasan yang diberi perhatian serius di Alor Gajah ialah Lebuh AMJ, Jalan Alor Gajah-Tampin, Jalan Masjid Tanah dan Bukit Sedanan. Bagi Melaka Tengah pula melibatkan kawasan Banda Hilir, Klebang dan Sungai Udang, manakala di Jasin meliputi Gapam-Bemban, Merlimau-Jasin serta Tehel-Bemban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Hameed menegaskan bahawa pihak JPJ tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan tegas terhadap sembilan kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya.