
TANJUNG KLING, 13 Januari – Seorang operator maut manakala seorang kontraktor cedera dalam satu letupan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Bukit Rambai, di sini kira-kira 1.32 petang tadi.
- Operator maut selepas tercampak keluar akibat letupan semasa kerja kimpalan atas tangki cooling pool yang bocor.
- Kontraktor di luar tangki cedera dengan kira-kira satu peratus kesan terbakar dan dihantar ke Hospital Besar Melaka.
- Kilang ialah fasiliti memproses buangan terjadual beroperasi dengan kebenaran JAS; kes diklasifikasikan mati mengejut dan disiasat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Christopher Patit dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang memantau kerja kimpalan yang dilakukan kontraktor pada sebuah tangki kolam penyejuk atau cooling pool yang mengalami kebocoran.
“Tangki berkenaan digunakan bagi proses menukarkan gas kepada cecair. Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan operator tersebut berada di dalam
kawasan tangki sebelum tercampak keluar sebaik letupan berlaku.
“Mangsa kedua, iaitu kontraktor yang berada di luar kawasan tangki, turut terkena kesan letupan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa pertama melecur 90 peratus dibawa keluar pasukan bomba ke lokasi selamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Sementara, mangsa kedua pula mengalami kira-kira satu peratus kesan terbakar dihantar ke Hospital Besar Melaka untuk rawatan.
Siasatan terhadap kilang berkenaan mendapati ia merupakan fasiliti memproses buangan terjadual yang beroperasi dengan kebenaran Jabatan Alam
Sekitar (JAS).
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.