fb fb fb fb fb

Operator kilang maut, motosikal bertembung bas

Motosikal ditunggang pekerja kilang kenderaan bertembung dengan sebuah bas selepas hilang kawalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Baling di Jalan Sungai Petani-Baling di sini pada Isnin/ Foto: PDRM

BALING, 30 April- Seorang operator kilang maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah bas di hadapan Sekolah Menengah Baling, Jalan Sungai Petani-Baling pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata mangsa dikenali sebagai Muhamad Mursolehim Ibrahim, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati bas itu dari arah Stesen Bas Baling selepas menurunkan penumpang dan dalam perjalanan ke Parit Panjang.

“Mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Beat pula datang dari arah bertentangan dan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Padang Cicar.

"Motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung hadapan bas. Akibat daripada pertembungan itu, mangsa telah melambung dan terjatuh di tengah-tengah jalan," katanya.

Shamsudin berkata mangsa telah dialihkan oleh orang awam ke bahu jalan dan akibat daripada kemalangan tersebut mangsa telah mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ZEHRA BINTI ZAMBRI