KUALA LUMPUR, 28 Julai- Operasi pembenihan awan (OPA) di Perak dan Kedah akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula esok hingga 31 Julai.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menerusi kenyataan berkata operasi tersebut bagi meningkatkan paras air Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Beliau berkata usaha tersebut adalah salah satu usaha kerajaan menangani kesan fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.
"OPA dilaksanakan atas permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian serta Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
"Met Malaysia turut menjangkakan taburan hujan di Kedah dan Perak rendah sehingga September 2024.
Katanya, merujuk kepada data Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada Jumaat lalu, peratus takungan semasa Empangan Muda ialah 9.44 peratus manakala Empangan Bukit Merah, 15.25 peratus.
“Selaku Pengerusi Bencana Pusat, saya bersetuju bahawa pelaksanaan OPA ini dibuat bagi menjamin sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas dan kering", katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata bekalan air dari empangan Muda dialirkan ke empangan Pedu bagi keperluan domestik, industri dan pengairan padi.
"Tanaman padi kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia dengan keluasan 100,641.19 hektar terdiri daripada 81,606.66 hektar di Kedah dan 19,034.53 hektar di Perlis.
"Manakala, kawasan tanaman padi di Kerian, Perak yang menerima sumber air dari Empangan Bukit Merah pula merupakan jelapang padi ketiga terbesar negara dengan keluasan 20,326 hektar.
"Kekurangan turunan hujan akan mengakibatkan takungan simpanan akan terus menyusut seterusnya tidak dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang," katanya.