
KOTA KINABALU, 31 Mac – Kebakaran besar melibatkan longgokan tayar terbuang di pusat pelupusan sampah Kayu Madang Telipok di sini masih belum dipadamkan sepenuhnya.
- Panggilan kecemasan diterima kira-kira 12.15 pagi; jentera pertama tiba 16 minit kemudian.
- Kebakaran membabitkan longgokan tayar terpakai anggaran tiga ekar; dua aliran 122 meter dan empat pancutan digunakan.
- Bomba lakukan fire break dengan dua jengkaut; operasi pemadaman diteruskan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kebakaran berlaku sejak pukul 12.00 tengah malam tadi dengan kepulan asap tebal di udara jelas dapat dilihat di beberapa kawasan sekitar.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Norkizan Durudin dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya meneima panggilan kecemasan kira- kira pukul 12.15 pagi sebelum jentera pertama tiba 16 minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan longgokan tayar terpakai dengan anggaran keluasan tiga ekar.
“Operasi memadam kebakaran dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 122 meter dengan empat pancutan air yang diperoleh daripada jentera FRT dan tangki air,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba turut melaksanakan teknik “fire break” di sekitar kawasan longgokan tayar bagi mengawal api daripada terus merebak.
Usaha itu dilakukan dengan bantuan dua jentera berat jenis jengkaut.
Sehingga kini, operasi pemadaman masih diteruskan dengan pemantauan rapi di lokasi kebakaran namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.