fb fb fb fb fb

OPA di Pulau Pinang sasar kawasan empangan

Ia adalah sebahagiaan tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di empangan tersebut.

SUBANG, 28 Februari- Operasi Pembenihan Awan (OPA) dijalankan selama dua hari di Pulau Pinang bermula semalam dalam usaha mencetuskan hujan sebanyak mungkin di negeri itu.

Operasi tersebut dilaksanakan atas permohonan kerajaan Pulau Pinang melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata operasi itu menyasarkan kawasan sekitar Empangan Teluk Bahang dan Air Itam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.

Katanya, ia adalah sebahagian tindakan awal bagi mengatasi penyusutan air di empangan tersebut.

"Setakat hari ini, peratus kapasiti air di Empangan Teluk Bahang sebanyak 80 peratus, di Empangan Air Itam sebanyak 37 peratus manakala Empangan Bukit Merah 80 peratus.

"Kejayaan OPA bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.

"Faktor-faktor ini membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran," kata Meor Ismail kepada pemberita di sini.

Tambahnya, bagi melaksanakan OPA pada hari ini, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan pihak METMalaysia.

Operasi itu diketuai Juruterbang TUDM, Mejar Khairil Azhar Ariffin bersama-sama lapan anggota TUDM, selain masing-masing 15 petugas NADMA dan METMalaysia.

METMalaysia menjangkakan cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius, terutamanya di utara Semenanjung dan Sabah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM