SHAH ALAM, 3 Januari- Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah atas tuduhan menawarkan rasuah RM2,000 kepada pegawai jabatan tersebut sebagai ganjaran memudahkan kemasukan warga asing di kaunter KLIA, dua tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Ketibaan KLIA 2.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Zamri Idrus, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menyara lima anak dan menanggung kos rawatan jantung.
Mahkamah Sesyen kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM12,000 selain memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga diarah melapor diri di pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan dan dilarang menghubungi saksi kes.
Kes disiasat bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Terdahulu, seramai 50 anggota penguat kuasa ditahan oleh SPRM dalam operasi "Op-Setting" kerana disyaki bekerjasama dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui "laluan kaunter khas."