Op Selamat: Lebih 60 ‘blackspot’ kemalangan di Kelantan – PDRM

Datuk Mohd Yusuff Mamat

KOTA BHARU, 18 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 42 kawasan kesesakan utama (hotspot) dan 67 lokasi kerap kemalangan (blackspot) di seluruh Kelantan dalam Op Selamat 26/2026  bermula esok hingga Selasa ini sempena Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 20 pegawai dan 150 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik digerakkan sepanjang operasi.
  • Menempatkan pegawai dan anggota trafik di lokasi kritikal seluruh negeri untuk pemantauan dan tindakan di lapangan.
  • Menubuhkan Skuad Jem, melaksanakan Op Lancar (18 hingga 29 Mac) dan mengoperasikan bilik gerakan 24 jam.
  • Penguatkuasaan tumpu pada enam kesalahan utama termasuk memandu laju, guna lorong kecemasan, memotong garisan berkembar dan menggunakan telefon ketika memandu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata lapan laluan juga dikenal pasti sebagai kawasan kritikal melibatkan daerah Kota Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah dan Gua Musang.

“Kami akan menempatkan pegawai dan anggota trafik di kawasan berkenaan untuk pemantauan dan tindakan di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 26/2026 peringkat kontinjen Kelantan di Tunjong, di sini hari ini.

Menurut beliau, seramai 20 pegawai dan 150 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) digerakkan sepanjang operasi itu.

Selain itu, PDRM menubuhkan Skuad Jem dan melaksanakan Op Lancar bermula 18 hingga 29 Mac bagi memastikan aliran trafik terkawal, selain mengoperasikan bilik gerakan selama 24 jam untuk pemantauan berterusan.

Tambahnya, penguatkuasaan akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Dalam perkembangan lain, Kelantan merekodkan lebih 60,000 pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP), sekali gus menjadi negeri dengan jumlah pendaftaran tertinggi di Malaysia.

Datuk Mohd Yusuff berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan kempen berterusan selain tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kepentingan membantu menyalurkan maklumat jenayah.