
KANGAR, 16 Mac – Polis Perlis mempertingkat pemantauan di laluan utama dan kawasan berisiko kemalangan sepanjang pelaksanaan Op Selamat 26 bersempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mac ini.
- Matlamat operasi: kemalangan sifar, tiada kemalangan maut atau kecederaan parah.
- Pemantauan memberi tumpuan khusus di 'choke-point', lokasi berisiko kesesakan dan kemalangan.
- Ketua Polis arah Ketua Jabatan Trafik menyelaraskan pemantauan dan cegah penyalahgunaan untuk perlumbaan haram.
- Op Selamat sebelum ini rekod tiada kemalangan di Perlis, menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan trafik negeri.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tiada kemalangan maut atau kecederaan parah berlaku sepanjang tempoh operasi berkenaan.
Pemantauan akan memberi tumpuan khusus di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘choke-point’, iaitu lokasi berpotensi berlaku kesesakan dan kemalangan.
“Kemalangan sifar yang melibatkan kemalangan maut dan juga cedera parah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku di negeri Perlis.”
“Saya juga telah mengarahkan Ketua Jabatan Trafik Negeri Perlis untuk menyelaraskan tugas pemantauan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai choke-point atau lokasi yang berisiko disalah guna untuk perlumbaan haram dan sebagainya,” katanya selepas Majlis Peluncuran Op Selamat 26 bersempena Hari Raya Aidilfitri 2026 di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Op Selamat sempena dengan Tahun Baharu Cina yang lepas, tiada kemalangan dilaporkan di Perlis sekali gus menduduki tempat pertama dalam penguatkuasaan trafik di seluruh negara.
Selain itu, polis menjangkakan kira-kira 65 peratus warga Thailand yang berada di Malaysia akan pulang ke negara asal melalui pintu sempadan Padang Besar dan Wang Kelian bersempena Aidilfitri.