Op Selamat 25 : Polis Perak tingkat pemantauan di 42 kawasan hotspot, 32 blackspot

Foto BERNAMA

IPOH, 13 Februari Polis Perak akan meningkatkan pemantauan di 42 kawasan yang sering berlaku kesesakan (hotspot) serta 32 kawasan sering berlaku kemalangan serius (blackspot) sepanjang Op Selamat 25 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi serentak 15 hingga 20 Februari untuk kurangkan kemalangan jalan raya dan lancarkan aliran trafik.
  • Fokus pada enam kesalahan utama termasuk memandu laju, guna lorong kecemasan dan guna telefon semasa memandu.
  • 555 pegawai dan anggota ditugaskan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang Op Selamat 25.
  • Rondaan MPV, motosikal dan pemantauan rumah ditingkatkan oleh jabatan penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata operasi yang dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula 15 hingga 20 Februari ini, bertujuan meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran aliran trafik.

42 lokasi hotspot itu melibatkan Jalan Kuala Kangsar (Ipoh-Butterworth), Jalan Sultan Iskandar Shah (pusat bandar raya), Jalan Kamunting – Batu Kurau, lampu isyarat Pekan Bidor, Kilometer (KM) 8 hingga KM9 Jalan Maharajalela, lampu isyarat Pekan Batu Gajah serta lampu isyarat Simpang Empat Hutan Melintang.

Beliau berkata kawasan blackspot yang dikenal pasti pula seperti Jalan Keramat Pulai (Ipoh-Cameron Highlands), Simpang Felda Sungai Behrang, KM25 Jalan Ipoh-Lumut, KM Jalan Teluk Intan-Bidor, Jalan Selama-Taiping serta Jalan Pusing-Batu Gajah (Sekolah Kebangsaan Convent).

“Pihak polis turut memberi tumpuan kepada enam kesalahan trafik yang dikenal pasti menjadi penyumbang kemalangan jalan raya antaranya memandu melebihi had laju serta memandu di lorong kecemasan.

“Selain itu, kesalahan seperti memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu turut menjadi penyumbang kemalangan jalan raya semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2026 Negeri Perak di sini, hari ini.

DCP Mohammad Azlin turut memaklumkan seramai 555 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang Op Selamat 25 yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad ini.

Selain itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti digerakkan bagi menjalankan rondaan MPV, motosikal serta pemantauan rumah yang ditinggalkan, selaras dengan pendekatan keselamatan menyeluruh pada musim perayaan.