fb fb fb fb fb

Op Selamat 24: 7,000 Pegawai dan anggota JSPT dikerah sempena Aidilfitri

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Hampir 7,000 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ( JSPT) akan ditugaskan dalam Op Selamat ke 24 sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Jelas Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, kesemua pegawai dan anggota terlibat dalam penugasan 'point-duty', rondaan dan pemantauan terhadap kawasan 'blackspot' (titik panas) dan 'hotspot' (titik hitam), dan penyuraian kesesakan.

"Terdapat 25 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot yang dikenalpasti di lebuhraya utama, di mana pemantauan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan perhatian segera oleh JSPT dan memudahkan pergerakan aliran lalu lintas sekiranya berlaku kesesakan yang luar biasa.

"Tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap pengguna jalan raya yang engkar melakukan kesalahan yang menjurus kepada kemalangan", katanya demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Advokasi sempena Op Selamat 24 di ibu negara petang tadi.

Masih mengekalkan tema sama, ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasí’, OP Selamat 24 akan dilaksanakan selama 6 hari bermula 29 Mac sehingga 3 April depan.

Pendekatan kempen masih berasaskan Penguatkuasaan Menyeluruh dan Perkhidmatan Penghantaran seperti tahun-tahun sebelumnya, yang bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab melalui beberapa langkah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD