TAPAH, 2 Februari- Sebanyak 104,235 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) sepanjang lima hari Op Selamat dijalankan, setakat semalam.
Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lima kesalahan utama mencatatkan jumlah pengeluaran saman sebanyak 49,339 keping.
Kesalahan paling banyak dilakukan adalah memandu melebihi had laju sebanyak 44,940 saman.
"Terdapat penurunan terhadap pengeluaran saman. Jadi, kita akan buat kajian berhubung faktor-faktor berkaitan. Adakah disebabkan oleh sikap pengguna atau pun hasil kempen-kempen keselamatan dan pencegahan yang telah kita lakukan sebelum ini.
Selain, bantuan daripada pihak media," kata Datuk Seri Mohd Yusri kepada pemberita.
Beliau ditemui pada Program Advokasi Op Selamat 23 Tahun Baharu Cina 2025 di Kawasan Rehat dan Rawat arah Selatan.
Seramai 3,609 anggota JSPT ditugaskan sepanjang Op Selamat tahun ini, yang bermula 28 Januari lalu.