
GUA MUSANG, 17 Mac – Lebih 500 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan di Zon Timur melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi melaksanakan rondaan sepanjang tempoh Op Prihatin untuk membantu serta memberi bantuan kecemasan kepada orang ramai pada perayaan Aidilfitri.
- Seramai 360 anggota APM digerakkan setiap hari mulai 19 hingga 29 Mac bagi memastikan operasi berjalan lancar dan berkesan.
- Petugas melakukan rondaan di jalan Persekutuan dan negeri serta memberi tumpuan kepada pusat beli-belah, penginapan, rumah ibadah dan kawasan rekreasi.
- Sebanyak 108 aset operasi digerakkan untuk menyokong rondaan dan bantuan kecemasan sepanjang tempoh operasi.
Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, daripada jumlah tersebut seramai 360 anggota APM digerakkan setiap hari di seluruh Zon Timur bermula 19 hingga 29 Mac bagi memastikan operasi berjalan lancar dan berkesan.
Sepanjang operasi itu petugas APM akan melaksanakan rondaan di jalan Persekutuan dan jalan negeri dan memberi tumpuan di lokasi tumpuan orang ramai serta kawasan tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, pusat penginapan, rumah ibadah, pusat rekreasi serta kawasan pelancongan.
“Zon timur ni terbahagi kepada tiga negeri ni hampir 550 anggota kami yang terdiri dari orang tempatan. Jadi dekat sini kelebihan apm kita orang tempatan dan mereka berada di tempat sendiri mereka tahu tempat mereka jadi kita aturkan di kawasan mereka dah tahu perkara tidak diingini boleh berlaku. Kita cuba berada di tempat tersebut untuk kita respon awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Op Prihatin APM Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Zon Timur di Hentian Gua Musang, di sini.
Sebanyak 108 aset akan digerakkan bagi menyokong pelaksanaan Op Prihatin Zon Timur melibatkan pelbagai kategori kenderaan operasi.
Kelantan mencatatkan penggunaan aset tertinggi dengan 49 buah aset diikuti Pahang 35 aset dan Terengganu 24 aset bagi menyokong rondaan serta bantuan kecemasan sepanjang tempoh operasi.