
SHAH ALAM, 26 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merekodkan 67 kesalahan sepanjang lapan hari pelaksanaan Op Pantau 2026 di negeri ini.
- 67 kesalahan dikesan sepanjang lapan hari pelaksanaan Op Pantau di Selangor.
- 1,284 premis termasuk bazar Ramadan, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit diperiksa.
- Kesalahan utama: tanda harga tidak dipamer, alat timbang tidak disahkan dan pelanggaran akta kawalan harga.
Pengarahnya, Muhammad Hanif Asari, berkata sebanyak 1,284 premis termasuk bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit telah diperiksa.
Daripada jumlah itu, 35 kes dikesan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, 26 kes bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala selebihnya melibatkan kesalahan permit barang kawalan serta perlindungan pengguna.
Menurut beliau, Op Pantau dilaksanakan sepanjang Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Operasi ini bertujuan untuk memastikan pematuhan kepada semua peraturan dan juga
undang-undang yang berkuatkuasa bawah KPDN dipatuhi, termasuk keperluan meletakkan tanda harga serta menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan di Bazar Ramadan Seksyen 13.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk gagal meletakkan tanda harga, tidak mempamerkan tanda harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak disahkan.
Tambahnya, KPDN Selangor turut meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa melalui Van Pengguna di lokasi tumpuan termasuk bazar Ramadan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan dan mendapatkan maklumat secara langsung.
Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam.