SEPANG, 4 Mac- Perak mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam pelaksanaan Op Pantau 2025 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan 10 kes membabitkan peniaga di negeri itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata Selangor merekodkan empat kes, diikuti Sabah dengan tiga kes, manakala Johor dan Kelantan masing-masing mencatatkan dua kes.
Menurutnya, sejak operasi itu dilancarkan Ahad lepas, pasukan penguat kuasa KPDN telah menjalankan 3,275 pemeriksaan di seluruh negara membabitkan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.
"Selepas dua hari dilaksanakan, kita juga menerima 116 aduan, mengeluarkan 21 kompaun bernilai RM6,600 serta nilai rampasan sebanyak RM900," katanya.
Beliau menegaskan langkah yang diambil oleh pasukan penguat kuasa KPDN itu mencerminkan keseriusan dalam memastikan tiada pihak yang menaikkan harga sesuka hati, tidak meletakkan tanda harga, atau menggunakan alat penimbang yang tidak sah.
Fuziah bercakap pada sidang media selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di sini hari ini. Sehingga kini terdapat 96 lokasi BRR di seluruh negara, termasuk sembilan di Selangor.
"Apa yang istimewanya, di BRR ini, pengunjung dapat membeli Menu Rahmah pada harga RM5 dan melakukan transaksi digital. Pada hari ini, sebanyak 6,000 e-dompet diagihkan kepada peniaga dan pengunjung.
"Masing-masing akan menerima RM100 bagi peniaga dan RM20 bagi pengunjung," katanya.
Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM9.36 juta untuk diagihkan dalam bentuk e-dompet kepada peniaga dan pengunjung BRR di seluruh negara bagi menggalakkan transaksi digital.
"Langkah ini bukan sahaja menggalakkan transaksi digital dalam kalangan peniaga tetapi juga mendidik masyarakat untuk bergerak menuju ekonomi tanpa tunai secara menyeluruh," katanya.