fb fb fb fb fb

Op Pagar Laut: Maritim gerak aset ke kawasan titik panas

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin pada sidang media sempena pelancaran Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, hari ini/Foto Maritim Malaysia

PELABUHAN KLANG, 18 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengerahkan lebih 800 pegawai dan anggota pada Op Khas Pagar Laut bermula 12 Mac lepas hingga 30 April depan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, operasi khas itu melibatkan pelbagai aset laut dan udara di seluruh perairan negara khususnya di kawasan titik panas (hotspot) sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

"Operasi ini dilaksanakan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan seperti pergerakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), pencerobohan nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban seperti mercun serta penyeludupan barang kawalan ke luar negara.

"Dari aspek itu aset-aset yang digerakkan ini akan sentiasa berwaspada bagi menjaga perairan negara terutamanya di sempadan negara," katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, hari ini.

Menurutnya lagi, Maritim turut bersedia menggerakkan asetnya bagi melaksanakan tugas Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

"Ia sebagai persediaan sekiranya berlaku insiden kemalangan kapal atau bot penumpang sepanjang musim perayaan nanti," katanya.

Tambah beliau, Maritim berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi dari 42 kes tangkapan pada tahun lalu.

Ia membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM13 juta.

GRACE AISYAH KEDAYAN