KUALA LUMPUR, 29 Januari- Sebanyak 6,605 bas di 54 depoh dan 28 terminal utama di seluruh negara diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang tempoh Op Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2025, sejak 20 Januari lalu.
Pemeriksaan turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, sebanyak 635 notis terhadap pemandu bas dikeluarkan termasuk 410 saman, 98 notis larangan penggunaan kereta motor, arah periksa (90 notis), permintaan butir pemandu (16 notis) dan selebihnya lain-lain kes.
"Setiap pemandu bagi alasan, tidak sempat nak lihat dan macam-macam lagi. Sepatutnya, untuk memastikan keselamatan dan isu teknikal ini, bukan setakat pemandu tetapi juga pengusaha syarikat bas itu sendiri.
Mereka perlu bertanggungjawab terhadap segala peralatan dan aksesori termasuk bunga tayar berkeadaan baik atau tidak sebelum memulakan perjalanan," kata Datuk Aedy kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Op Khas TBC di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pada semalam, di sini.
AADK juga melaksanakan saringan urin terhadap 420 pemandu bas dan enam daripadanya positif dadah.