fb fb fb fb fb

Op Bersepadu Beras Putih Tempatan di Pahang sehingga 3 November

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUANTAN, 30 Oktober- Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT) peringkat kilang dan pemborong bagi negeri Pahang bermula hari ini sehingga 3 November depan.

Operasi tersebut melibatkan empat pemborong dan satu kilang di Pahang bagi mengenal pasti beras import yang dibekalkan kepada pengguna.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Pahang, Hamizan Musa berkata selain pemeriksaan stok BPT di premis, operasi itu turut meliputi pengambilan sampel beras untuk dianalisa.

“Sampel yang diambil itu akan dihantar kepada makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan analisa dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pengilang dan pembekal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi yang dijalankan di kilang pemprosesan BPT, Mumtaz Iman Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Katanya, operasi tersebut melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan 4 Oktober lalu, mesyuarat bersetuju menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Akta 522 bagi menjalankan pemeriksaan serta mewujudkan Pusat Gerakan Bersepadu di kementerian.

Semua agensi penguatkuasaan dibenarkan menjalankan pemeriksaan di peringkat pengilang serta pemborong padi dan beras di seluruh negara, di bawah Seksyen 6 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522)

ZEHRA BINTI ZAMBRI