KUCHING, 26 Oktober - Sebanyak 33 kapal telah diperiksa dalam operasi bersepadu, Op Ambal Kuching-Tanjung Manis yang dijalankan bermula di perairan Sarawak pada Rabu dan Khamis minggu lepas.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata beberapa tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas pihak yang didapati melanggar undang-undang maritim.
"Tujuan operasi ini dijalankan ialah bagi meningkatkan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta membanteras jenayah maritim perairan Sarawak.
"Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ini adalah cuai mengekalkan tanda nama kapal serta nama kapal yang mengelirukan dan beberapa lagi kesalahan lain," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Dalam operasi yang berlangsung selama dua hari itu, seramai 44 anggota Maritim Malaysia dan 12 anggota Jabatan Laut Wilayah Sarawak (JLWS) telah digerakkan bersama-sama enam aset Maritim Malaysia dan sebuah aset JLWS ke perairan negara.
Ini termasuklah perairan Muara Tebas, Tanjung PO, Muara Payang dan kawasan sekitarnya.
"Aset-aset ini memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi, terutamanya dalam aspek pemantauan, pemeriksaan, dan tindakan penguatkuasaan terhadap kapal-kapal yang berada di perairan Sarawak," katanya.
Aset strategik yang terlibat seperti bot Kilat 22, Kilat 35, Penggalang 22, Penyelamat 8, Petir 82, Perkasa 25, dan Tg Selalang milik JLWS.