fb fb fb fb fb

ONSA langkah proaktif perkukuh ekosistem keselamatan digital

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Disember - Pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) adalah langkah proaktif kerajaan untuk memperkukuh keselamatan digital negara dengan meletakkan tanggungjawab utama kepada platform digital, yang berkeupayaan mengesan dan menghalang kandungan berbahaya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Mohamad Yusof Darus berkata, pendekatan itu membolehkan platform digital bertindak lebih awal terhadap kandungan berisiko seperti iklan palsu dan penyamaran identiti tanpa bergantung sepenuhnya kepada laporan pengguna.

"Akta berkenaan turut memberi penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan, termasuk warga emas, yang lebih terdedah kepada risiko penipuan dalam ruang digital.

"Ini merupakan langkah yang baik memandangkan persekitaran digital boleh menjadi toksik sekiranya tidak dikawal secara berkesan," katanya ketika dihubungi RTM.

2712 REAX ONSA1
Profesor Madya Dr Mohamad Yusof Darus

Bagaimanapun, beliau berpandangan pelaksanaan ONSA dijangka berdepan beberapa cabaran, khususnya dari segi aspek teknikal, kekangan sumber manusia serta tahap kesiapsiagaan organisasi terlibat.

"Daripada sudut teknikal, definisi kandungan berbahaya atau harmful content masih kabur pada pandangan saya. Keadaan ini berpotensi menyukarkan penguatkuasaan undang-undang selain membuka ruang kepada salah guna.

"Platform digital utama seperti Meta, TikTok dan X perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk pengesanan kandungan janaan AI seperti deepfake, bagi memastikan kawalan kandungan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya lagi.

Daripada sudut sumber manusia pula, beliau menegaskan kekurangan tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber dan AI berkemungkinan mengurangkan kecekapan pengendalian aduan serta tindak balas penguatkuasaan pihak berkuasa.

Selain itu, organisasi kecil dan platform baharu juga mungkin belum bersedia dari segi struktur dan keupayaan, lebih-lebih lagi dengan denda yang boleh mencecah puluhan juta ringgit.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan koordinasi yang erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kementerian berkaitan serta pemain industri digital bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dilaksanakan secara seimbang dan berkesan.

Dalam konteks sokongan jangka panjang, institusi pengajian tinggi dilihat memainkan peranan strategik sebagai pusat ilmu dan pemangkin ekosistem digital selamat.

"Universiti boleh mengintegrasikan modul keselamatan dalam talian ke dalam kurikulum, termasuk melalui penawaran bidang keselamatan siber, bagi meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan pelajar.

"Selain itu, institusi pengajian tinggi juga boleh menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pelaksanaan ONSA, termasuk implikasinya terhadap kebebasan bersuara. Analisis kajian kes sebegini penting bagi menilai keberkesanan akta berkenaan serta menyumbang cadangan penambahbaikan dasar kepada kerajaan," katanya.

Kolaborasi strategik antara universiti, industri dan kerajaan mampu memastikan ONSA bukan sahaja dilaksanakan secara praktikal, malah kekal relevan dan berkesan dalam jangka panjang demi kesejahteraan digital negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI