JOHOR BAHRU, 13 Februari- Kerajaan Johor hari ini mengumumkan pelantikan ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu, menggantikan Norliza Noh, bagi portfolio Pendidikan dan Penerangan.
Turut dirombak beberapa portfolio barisan EXCO sedia ada.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi muat naik di Facebook memaklumkan, pelantikan dan penstrukturan semula berkenaan adalah untuk memacu negeri ke arah lebih baik sambil mengucapkan penghargaan kepada EXCO yang lama.
Struktur baharu itu menyaksikan Datuk Onn Hafiz menggalas satu lagi portfolio selain Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi iaitu Jawatankuasa Pelancongan.
K. Raven Kumar pula memegang portfolio Perpaduan, Warisan dan Budaya, manakala Hairi Md Shah, Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sementara itu, Ling Tian Soon yang sebelum ini mengemudi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan bertukar ke Kesihatan dan Alam Sekitar.
Lee Ting Han menambah satu portfolio selain Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna iaitu, Sumber Manusia.
Mohamadd Fazli Mohamad Salleh pula memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat ke Istiadat Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani,.