KUALA LUMPUR, 27 September- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin antara penerima Anugerah Tokoh Media pada Anugerah Jubli Intan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC).
Anugerah tersebut sebagai pengiktirafan bakat kepimpinan luar biasanya yang membuka sempadan dan memberi inspirasi kepada generasi baharu dalam kalangan wanita untuk memimpin serta menjuarai bidang kewartawanan.
"Semasa zaman saya tahun 84, 85 saya telah ditekankan tentang etika dalam kita melaksanakan tugas. Jadi saya berpegang kepada itu sehingga sekarang, malah sesiapa yang pernah bertugas semasa saya menjadi penyunting, ada perkara-perkara yang kita tekankan dan kita akan pastikan mereka mematuhinya.
"Jadi peganglah kepada etika, kerana itu akan membuktikan kita sebagai seorang wartawan yang orang akan iktiraf sebagai yang dipercayai dan diyakini," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Anugerah Jubli Intan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) di ibu negara.
Tiga lagi penerima anugerah sama adalah Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng; wartawan veteran, Datuk Nuraina Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof.
Anugerah disampaikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.