fb fb fb fb fb

Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025: Latihan kemahiran percuma tarik lebih 2 juta peserta seluruh negara

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Lebih 2 juta rakyat Malaysia menyertai Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, sekali gus melepasi sasaran awal satu juta penyertaan yang ditetapkan, menjadikannya kejayaan berganda berbanding 300,000 penyertaan pada tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pencapaian luar biasa itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasakan pembangunan modal insan, serta menjadikan Malaysia sebagai hab kemahiran tinggi serantau, seiring cabaran ekonomi abad ke-21.

“Tahun lalu, hanya 300,000 rakyat Malaysia menyertai kursus latihan kemahiran, dan sasaran kita tahun ini adalah sejuta penyertaan. Namun, kita berjaya capai lebih 2 juta. Mereka ini menyertai lebih 71,000 kursus latihan percuma, dan 40 peratus daripadanya berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) dan Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pembukaan NTW 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, anjuran HRD Corp di bawah Kementerian Sumber Manusia, berlangsung mulai hari ini hingga 21 Jun di seluruh negara.

Buat pertama kali, inisiatif tersebut turut dibuka kepada semua warganegara ASEAN, sekali gus memperluas jangkauan program ke peringkat serantau.

Program berkenaan menawarkan lebih 65,000 peluang latihan percuma secara fizikal dan dalam talian, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dan mempertingkatkan kemahiran rakyat Malaysia serta masyarakat ASEAN.

Platform itu turut berfungsi sebagai pusat sehenti berintegrasi untuk membantu orang ramai mendapatkan akses kepada pelbagai program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan dalam pelbagai bidang strategik dan berimpak tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN