fb fb fb fb fb

NTW 2025 disertai lebih 2 juta peserta

Steven Sim Chee Keong

KLANG, 16 Jun- Lebih dua juta individu menyertai program pembangunan kemahiran sempena Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 dalam tempoh seminggu.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata angka itu melebihi sasaran awal iaitu sejuta peserta.

Kira-kira 41 peratus daripada peserta terlibat dalam latihan berkaitan kemahiran Industri 4.0, sekali gus menunjukkan usaha nasional yang kukuh serta memperkasakan tenaga kerja dalam sektor logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan di Malaysia.

"Kita mahu jadikan platform seperti NTW ini sebagai contoh untuk membiasakan rakyat Malaysia dengan latihan kemahiran. Sertai mana-mana kursus, kita mahu menjadikan latihan kemahiran sebagai satu budaya, trend dan arus perdana supaya semua orang berasa selesa untuk menambah ilmu melalui kursus-kursus yang ditawarkan.

"Kajian telah menunjukkan, jangan pandang rendah pada latihan satu minggu ini. Kajian menunjukkan di Malaysia, 35 peratus majikan mengiktiraf kursus jangka pendek sebagai penilaian potensi pekerja mereka, berbanding purata global yang hanya 14 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan program NTW 2025 bertemakan Logistics Unboxed: Empowering Workforce Beyond Borders di sini.

Program itu merupakan kolaborasi antara Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Infinity Logistics dan Transport Sdn. Bhd. bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Program Logistics Unboxed dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400 peserta termasuk pelajar dan majikan, menerusi lima hari aktiviti pembelajaran secara hibrid.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI