NTIS pacu 101 teknologi tempatan, catat nilai komersial lebih RM171 juta

Datuk Chang Lih Kang

SHAH ALAM, 12 Februari – Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) telah menyokong dan memperkasakan kira-kira 101 teknologi tempatan dengan nilai pengkomersialan mencecah RM171.8 juta sepanjang lima tahun pelaksanaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • NTIS telah mengkomersialkan sekitar 101 teknologi tempatan, mencapai nilai pengkomersialan RM171.8 juta.
  • Inisiatif ini menghasilkan 333 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing bakat tempatan.
  • Pendekatan kolaboratif kerajaan, pengawal selia dan industri membolehkan 14 penyelesaian menembusi pasaran antarabangsa dengan eksport RM122.8 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata, kejayaan itu turut menyumbang kepada pembentukan 333 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, terutamanya dalam bidang teknologi dan sektor bernilai tinggi.

Angka berkenaan mencerminkan keupayaan inovasi tempatan untuk bergerak melangkaui fasa pengujian dan prototaip, seterusnya menembusi fasa pengkomersialan.

“Ini membuktikan bahawa inovasi bukan sahaja mencipta produk baharu, tetapi juga menjana pekerjaan berkualiti serta meningkatkan daya saing bakat tempatan.

“Dari sudut keterbukaan pasaran, sebanyak 14 penyelesaian teknologi dibangunkan melalui NTIS berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan tambahan nilai eksport berjumlah RM122.8 juta kepada nilai pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun dan Hala Tuju NTIS di Setia City Convention Centre (SCCC) di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohammad Yusof Apdal, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi MRANTI, Prof Dr Rofina Yasmin Othman.

Secara keseluruhan, prestasi NTIS bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) membuktikan model sandbox berfungsi secara berkesan dalam ekosistem Malaysia.

NTIS telah membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara kerajaan, pengawal selia dan industri mampu mempercepat perjalanan inovasi.

Selain itu, penubuhan tujuh Jawatankuasa Sandbox Kementerian serta 46 titik fokus merentas kementerian menunjukkan komitmen kolektif negara dalam menyokong inovasi secara bertanggungjawab.

Melalui 16 sandbox merentas sektor termasuk bioteknologi, teknologi tempatan kini berpeluang diuji dalam persekitaran sebenar, sekali gus meningkatkan keyakinan pasaran dan kebolehgunaan penyelesaian yang dibangunkan.

Seiring dengan peralihan ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), pendekatan NTIS akan lebih tertumpu kepada penskalaan penyelesaian dan penerapan teknologi secara lebih meluas merentas kementerian, agensi dan negeri.