fb fb fb fb fb

NSIP, taman perindustrian terurus pertama negara - Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Galeri jualan Taman Industri Pintar NCT hari ini/Foto Majlis Perbandaran Kuala Langat

SEPANG, 3 April- Pembangunan Taman Industri Pintar NCT (NSIP) menjadi taman perindustrian terurus pertama negara, melibatkan nilai pembangunan kasar mencecah RM10 bilion.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, konsep kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan akan mengoptimumkan kecekapan tenaga serta aktiviti industri hijau di taman itu.

"Berkenaan dengan jalan-jalan masuk itu adalah sebahagian projek negeri yang kita sudah mulakan. Kontrak projek itu telah dibuat. Hanya dalam beberapa bulan yang lepas, kita tunggu untuk tanah itu mampat, tanah itu padat dan mengikut jadual kita dalam bulan September, akan lengkap projek tersebut.

"Harapnya selepas ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan berjaya. Itu adalah kunci penting yang dapat menarik pelabur dan memudahkan pembangunan di kawasan sini," kata Amirudin kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Galeri jualan Taman Industri Pintar NCT, di sini.

Tambah Amirudin, pelaksanaan sistem berkenaan bakal menjadi pemangkin Misi Net Zero 2050 selari dengan Rancangan Selangor Pertama yang menekankan matlamat pembangunan mampan.

Sejak diperkenal pada April tahun lalu, projek berperingkat melibatkan tiga fasa atas tanah seluas 732 ekar itu, telah menerima tempahan lebih 60 peratus pelabur tempatan dan luar negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN